Bahagian Penguatkuasa
BAHAGIAN PENGUATKUASA
Majlis Daerah Putatan
1. Pengenalan
Bahagian Penguatkuasa merupakan unit penting di bawah pentadbiran Majlis Daerah Putatan yang memainkan peranan utama dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang, peraturan dan undang-undang kecil yang digunapakai oleh pihak Majlis dilaksanakan secara tegas, berhemah dan berkesan.
Bahagian ini juga bertanggungjawab dalam menyokong perancangan dan pembangunan Majlis melalui aktiviti pemantauan serta mendidik masyarakat agar lebih peka dan mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan. Melalui pendekatan ini, Bahagian Penguatkuasa berusaha untuk membentuk sebuah komuniti yang patuh undang-undang dan menyumbang kepada suasana kehidupan yang lebih harmoni, selamat dan teratur dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Putatan.
________________________________________
2. Objektif
Bahagian Penguatkuasa menetapkan objektif berikut dalam menjalankan tanggungjawabnya:
• Memastikan undang-undang, enakmen, perintah, akta dan undang-undang kecil yang berkuat kuasa dipatuhi sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat di bawah kawasan pentadbiran Majlis.
• Menjalankan tindakan penguatkuasaan secara berintegriti, profesional dan telus bagi menjamin ketenteraman awam serta kelestarian pembangunan.
• Memastikan semua bentuk perniagaan yang beroperasi dalam kawasan Majlis mempunyai lesen yang sah dan mematuhi syarat-syarat pelesenan.
• Mencegah dan membanteras sebarang aktiviti perniagaan haram atau tanpa kebenaran Majlis.
• Meningkatkan tahap kesedaran dan kepatuhan masyarakat terhadap undang-undang melalui rondaan, pendidikan dan tindakan penguatkuasaan bersepadu.
________________________________________
3. Fungsi Bahagian
Bahagian Penguatkuasa melaksanakan pelbagai fungsi utama dalam memastikan peraturan dan undang-undang yang digunapakai oleh Majlis Daerah Putatan dikuatkuasakan secara berkesan, antaranya termasuk:
• Mengeluarkan kompaun ke atas mana-mana individu atau pihak yang melakukan kesalahan melanggar Enakmen, Perintah, Akta dan Undang-undang Kecil Majlis.
• Mengeluarkan notis pemberitahuan kesalahan kepada pesalah yang didapati melanggar peraturan.
• Melaksanakan tindakan sitaan, termasuk barangan niaga, struktur haram, atau objek yang menghalang laluan awam.
• Melaksanakan penguatkuasaan kawalan anjing terbiar, bagi menjaga keselamatan dan keselesaan awam.
• Melakukan rondaan secara berkala di seluruh kawasan perkadaran untuk memantau pematuhan terhadap peraturan Majlis.
• Menyiasat dan mengambil tindakan terhadap aduan awam, termasuk aduan berkaitan gangguan, kebersihan dan keselamatan awam.
• Melaksanakan operasi meroboh struktur atau bangunan haram, yang dibina tanpa kebenaran Majlis.
• Melaksanakan operasi bersepadu bersama jabatan atau agensi penguatkuasaan lain untuk menangani isu-isu penguatkuasaan secara menyeluruh.
• Menyampaikan saman atau notis kepada pihak-pihak yang melanggar undang-undang.
• Melaksanakan kawalan keselamatan semasa program rasmi Majlis atau semasa operasi penguatkuasaan dijalankan.
________________________________________
Bahagian Penguatkuasa berpegang teguh kepada prinsip profesionalisme, ketelusan dan ketegasan dalam melaksanakan amanah serta tugasnya. Komitmen bahagian ini adalah untuk memastikan undang-undang yang diguna pakai oleh Majlis Daerah Putatan dihormati dan dipatuhi sepenuhnya oleh masyarakat, demi menjamin suasana persekitaran yang lebih selamat, bersih, dan harmoni untuk semua penduduk.


